Login | Bukutamu | Peta laman |  English Bahasa Malaysia | 8 Pengunjung
Tema
 

MENU

Click here for MCafee site advisor

Kajian
Pentingkah belajar Bahasa Melayu?
91% Ya
6% Tidak
3% Tidak Pasti

Kajian
Masa depan Bahasa Melayu
33% CEMERLANG
67% GEMILANG

Kajian
Orang Yang Menguasai Maklumat Menguasai Dunia!
81% Ya
16% Tidak
3% Tidak Tahu

Kajian
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) wajar diperkasakan.
82% Setuju
18% Tidak Setuju

PAUTAN BEKAS PELAJAR
Mohd. Rafie (Cardiff)
Farrah Izzuan - Friendster
Farrah Izzuan - Dari Dapurku
Rozana Mat Radzi

JOM TEMUI SAYA DI EDUWEBTV!
Pendidik Ep12     Baru

PAUTAN PENGURUSAN

Kementerian Pelajaran
Portal Rasmi SMSJ
PPD Kluang
JPN Johor
Kajian Tindakan JPNJ
Per. Pendidik BM M'sia


PAUTAN GURU CEMERLANG

MGC MALAYSIA
PP PERUNDING BM
Khir Kassim - GC BM
Ramlah Idris - GC PI
Fariza Nurbaya - GC BM
MGC JOHOR


PILIHAN TERISTIMEWA

Blog Prof. Dr. Hj. Awang Sariyan


HIJRAH

LALUAN BERITA
Harakah Daily
Suara KeAdilan
Malaysiakini.com
Agenda Daily
Malaysia Today
Bernama
Utusan Malaysia
Berita Harian
Harian Metro
Berita RTM
The Star
The Star Melayu
Malaysia Insider
Sinar Harian
Kosmo
Siasah
Wasilah Online
Newskini

PENGUNJUNG
BERMULA PADA 30 JAN 2009

UTAMA

::
MOTIVASI    :: PENTAKSIRAN    :: LAMAN MUNSYI    :: P&P     :: FORUM   

MARILAH KITA BERBAHASA DENGAN SEBAIK-BAIK BAHASA...



PIDATO KAKOM 2010
TARIKH: 26 JULAI 2010

Bertempat di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak, berlangsung Pertandingan Pidato Bahasa Melayu bersempena dengan Karnival Kokurikulum Matrikulasi ke-10. Seramai 14 orang peserta dari 14 buah kolej seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang terdiri daripada dua bahagian iaitu bahagian pidato dan bahagian pidato spontan.

Secara keseluruhannya, para peserta telah mempamerkan persembahan yang mengagumkan dan sewajarnya diberikan pujian. Namun, sudah menjadi adat bertanding, pemilihan yang terbaik antara yang terbaik perlu dilakukan. Keputusannya, pemidato dari  Kolej Matrikulasi Johor telah berjaya menjulang piala pusingan buat kali kedua berturut-turut. Tempat ke-2 menjadi milik pemidato dari Kolej Matrikulasi Kedah manakala pemidato dari Kolej Matrikulasi Pahang menduduki tempat ke-3.

Tahniah kepada yang berjaya dan tahniah juga kepada semua peserta kerana berjaya mempersembahkan pidato yang bermutu! Semoga usaha kalian untuk mengasah bakat dalam pengucapan awam tidak bernoktah di sini.


ANTARA PUTRAJAYA DENGAN CYBERJAYA ADA SATE KAJANG?
TARIKH: 25 JULAI 2010

Mengambil iktibar daripada surah Al-Asr yang bermaksud, "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian...", maka, kita perlulah berpesan-pesan ke arah kebaikan. Pesanannya di sini ialah - jangan bertangguh kerana bertangguh itu ialah pencuri masa.

Disebabkan menjadi pencuri masa - tiga orang guru SMSJ berkejar ke Putrajaya namun tempat yang ditujui telah pun berpindah ke Cyberjaya lalu ketiga-tiganya singgah makan sate Kajang sebelum memulakan perjalanan pulang... (Pening!)

Namun sama-samalah kita memanjatkan doa, agar misi mereka berjaya! Insya-Allah!


YANG TERBAIK ANTARA YANG TERBAIK!
TARIKH: 19 & 21 JULAI 2010

Walaupun semalamnya kami menghabiskan masa sehari suntuk bersama-sama kerana meraikan majlis perkahwinan Eizaz, pertembungan dengan Mohd. Faiz bin Abd. Rahim di kantin sekolah hari ini, menimbulkan idea spontan! Beliau yang pagi-pagi lagi telah ke sekolah sementara menunggu rakan-rakan setugas dari JB tiba untuk memulakan kerja mengaudit akaun BCB di Kluang, saya ajak ke kelas 5S2. Tanpa berfikir panjang, Mohd. Faiz yang merupakan pelajar terbaik PMR 2001 negeri Johor dan pelajar terbaik SPM (terbaik antara yang terbaik pada tahun itu) peringkat SBP 2003, menerima pelawaan saya dengan lapang dada. Maka, meriah sungguh kelas BM saya di 5S2 hari itu dengan kehadiran seekor kumbang hebat dalam jambangan bunga-bungaan sedang yang mekar mewangi!

Kehadiran beliau di 5S2 yang sungguh bermakna bagi puteri-puteri 5S2 menimbulkan idea untuk mengajak beliau berkongsi pengalaman sebagai pelajar cemerlang kepada pelajar tingkatan 3 pada malam Rabu. Mohd. Faiz agak teragak-agak untuk menerima pelawaan saya kali ini. Bukan kerana enggan datang, tetapi kerana tuntutan kerja yang memerlukan beliau berada bersama-sama pasukan juruauditnya hingga jam 10.00 malam pada setiap malam! Namun, mesej yang saya terima pada pagi 21 Julai membawa khabar gembira! Beliau mendapat pelepasan daripada pengurusnya pada malam itu untuk membolehkannya datang berjumpa dengan adik-adik di sekolah.

Majlis perkongsian pengalaman dan motivasi yang bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam itu turut dihadiri oleh sekumpulan pelajar Tingkatan 5. Selain berkongsi pengalaman dan petua belajar kepada semua, Mohd. Faiz turut memberikan nasihat kepada pelajar Tingkatan 5 terutamanya tentang bidang pengajian dan prospek kerjaya.

Semoga program ini dapat memberikan semangat dan menerbitkan ilham kepada pelajar-pelajar dalam usaha meletakkan diri sebagai pelajar terbaik dalam kalangan yang terbaik sebagaimana yang dilakukan oleh Mohd. Faiz bin Abd. Rahim dalam eranya!


MERAIKAN PERKAHWINAN DAN PERTEMUAN

TARIKH: 18 JULAI 2010

Bertempat di kediaman Prof. Dr. Hasanan di Pulai Perdana, Eizaz dan Sajidah yang selamat diijabkabulkan pada minggu lepas, diraikan oleh sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga. Selain rakan-rakan Eizaz, guru SMSJ antaranya Cikgu Noraini Abd. Ghani, Cikgu Susanti Gamin, En. Mohd. Halim Mohd. Dom, Ustaz Zakaria Yatimin dan Puan Zanariah Abdol turut hadir bagi memeriahkan majlis menyambut menantu Prof Dr. Hasanan yang merupakan antara Yang Dipertua PIBG dan AJK PIBG yang paling lama berkhidmat untuk SMSJ. Cikgu Jeffry bin Poon - bekas guru BM SMSJ turut hadir bagi meraikan Eizaz yang merupakan pembahas sekolah di bawah bimbingan beliau.

Selamat Pengantin Baru Eizaz-Sajidah. Semoga diberkati dan kekal bahagia selagi hayat dikandung badan...


BERTEMU, BERPISAH DAN BERTEMU SEMULA
TARIKH: 16 JULAI 2010

Bertemu, berpisah dan bertemu semula - memang adat dunia. Pertemuan yang berlaku pada tahun 2000 mengikat rasa persahabatan dan persaudaraan. Perpisahan yang berlaku pada tahun 2004 pula, membuahkan kerinduan yang amat sangat terhadap Puan Hajah Salhih Syaikh Barik - rakan seprofesion, sahabat dan kakak yang hebat! Lantaran kerinduan yang teramat, walaupun dalam kesempatan masa yang terhad, digagahi juga untuk menjejak beliau di SMK Hulu Kelang, yang kebetulan terletak berhampiran dengan tempat mesyuarat.

Kesempatan 20 minit yang cukup berharga dimanfaatkan sepenuhnya dengan bertukar-tukar khabar dan cerita serta melunas rindu yang terpendam 6 tahun lamanya...



CERAMAH MOTIVASI - TEMA: MEMBUANAKAN SMSJ!
TARIKH:  7 JULAI 2010

Kedatangan Encik Azizul Rahman bin Abd. Rahman, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Gred Khas C, ke Kluang untuk suatu tugas lain, dimanfaatkan dengan mengundang beliau untuk bertemu dengan pelajar-pelajar tingkatan 3 dan tingkatan 5 SMSJ. Ceramah yang bermula pada jam 8.35 malam diisi dengan input tentang situasi semasa yang mampu merencatkan perjalanan ke arah kehidupan yang cemerlang dan berkualiti diikuti dengan langkah-langkah mengatasinya iaitu - membudayakan kegiatan membaca selaras dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w.  yang menyeru umat manusia: "Bacalah!".

Diharapkan input motivasi kali ini dapat direnungi oleh sekalian pelajar yang hadir, bahawa kemuncak kejayaan bukanlah setakat memperoleh 10A+ dalam SPM atau menjawat jawatan tinggi dengan pendapatan yang tinggi juga kerana perjuangan ke arah kecemerlangan perlu diteruskan ke peringkat jagat raya!

Bayangkan, pada tanggal 10 Disember 2030, TV Malaysia mengadakan siaran secara langsung dari Oslo, Norway,  untuk memberi rakyat negara ini peluang menjadi saksi kepada upacara penganugerahan  Hadiah Nobel kepada seorang  warganegara Malaysia - dari SMSJ!  Hmmm... alangkah indahnya!


MENCIPTA KEJAYAAN
TARIKH: 5 JULAI 2010

Hari ini sesuai sekali diberi tema "Kejayaan". Seawal perhimpunan pagi, berita-berita kejayaan dan
kemenangan pelajar SMSJ dalam pelbagai aktiviti kokurikulum telah diumumkan semasa perhimpunan rasmi.
Selepas itu, kedengaran pula berita kejayaan rakan-rakan guru yang lulus cemerlang dalam PTK. 
Sebelum waktu persekolahan sesi pagi berakhir, bekas pelajar SMSJ SPM 1995 iaitu Fahmi Amat,
yang kini bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas bertaraf antarabangsa di Bangkok,
datang berkunjung ke sekolah. Semuanya membawa khabar kejayaan yang membanggakan.

Semoga tema "Kejayaan" ini berterusan sepanjang minggu ini dan minggu-minggu seterusnya buat warga SMSJ!


PS: TERIMA KASIH, FARIDAH AHMAD (SPM '90), ATAS KIRIMAN GAMBAR DI BAWAH.

SMSJ - JOHAN PERTANDINGAN! TAHNIAH!

HARI TERBUKA DAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PIBG 2010
TARIKH: 3 JUN 2010

Hari ini, seawal 8.30 pagi, deretan kereta mulai memasuki pekarangan SMSJ.
Ibu bapa/penjaga disambut dan dibawa ke kelas anak masing-masing untuk bertemu dengan guru kelas,
diikuti guru mata pelajaran. Pada jam 12.30 tengah hari,
Mesyuarat Agung Tahunan PIBG dibuka secara rasmi oleh Yang Berbahagia,
Prof. Dato' Dr. Mohd. Noh bin Salimin, Naib Canselor, Universiti Tun Hussein Onn.
 Selepas perasmian, MAT berlangsung hingga jam 2.30 petang. MAT kali ini sebulat suara,
mahu mengekalkan   sebagai Yang Dipertua.

Semoga menerusi PIBG, ibu bapa dan guru akan dapat bergerak seiiring sejalan 
secara harmonis demi kelangsungan kecemerlangan SMSJ.


PERSIDANGAN GURU CEMERLANG NEGERI JOHOR 2010
TARIKH: 1 - 2 JUN 2010

Bertempat di Hotel Selesa Pasir Gudang, Persidangan Guru Cemerlang Negeri Johor 2010
telah diadakan seawal jam 9.00 pagi Khamis, 1 Jun hingga 2 Jun 2010 dengan menampilkan 6 kertas kerja, 2 kajian tindakan dan dua perkongsian pengalaman/ilmu setelah persidangan dibuka secara rasminya oleh Yang Berbahagia, En. Md. Hasidin bin Zaini, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Kertas kerja yang dibentangkan ialah "Mengurus Kecemerlangan" oleh Tn. Haji Ismail Rosdi
(Pengetua, SMK Desa Cemerlang, Pasir Gudang), "Menganjak ke Kanan" oleh En. Yew Kok Leh
(Pengetua, SMK Jln Mengkibol), "Standard Guru Malaysia" oleh Pn. Hjh. Zubedah Abdullah, En. Ahmad bin Zainal dan Dr. Yazid (IPG Temenggong Ibrahim), KPI & NKRA oleh Puan Norhayati binti Alias  (Timbalan Ketua Nazir Persekutuan, Putrajaya) dan "Program Immersion" oleh Tn. Hj. Aminuddin bin Adam ( PPD Johor Bahru).  Dua Kajian Tindakan yang dibentangkan oleh Johan Pertandingan Kajian Tindakan Negeri Joho r Kategori SK dan SM iaitu Puan Azlinda Ahmad (SK Bandar Putra, Segamat) dan Cik Deep Wei Wei (SMK Sri Mersing).

Dalam persidangan kali ini, 2 orang Guru Cemerlang Gred Khas C iaitu Encik Yap Poh Lai telah berkongsi idea, ilmu dan pengalaman yang amat berharga dan bermakna. Persembahan En. Yap yang begitu sarat dengan nasihat dan pengukuhan jati diri, disampaikan dalam nada memujuk secara kreatif-implisit melalui cerita-cerita rakyat dan kisah-kisah motivasi. Persembahan En. Azizul Rahman bin Abdul Rahman yang bertajuk "Cincin Emas Takkan Tampan Bermata Kaca", disampaikan secara kreatif-sinis-kecindan-implisit , melalui penceritaan pengalaman diri dan  kisah benar semasa, juga sarat dengan nilai kecemerlangan diri yang wajar dijadikan renungan.

Persidangan turut mencatat sejarah bagi Majlis Guru Cemerlang Negeri Johor, apabila blog Majlis Guru Cemerlang Negeri Johor yang dibangunkan oleh Encik Ismail bin Yon, Pengerusi MGC Daerah Kluang, dilancarkan oleh Yang Berbahagia, Tn. Hj.
Sufaat bin Tumin, Pengarah Pelajaran Negeri Johor,  dalam majlis perasmian penutup Persidangan Guru Cemerlang Negeri Johor 2010.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada AJK Tertinggi MGC Johor di bawah pimpinan Puan Norizah binti Rahma t atas kejayaan penganjuran kali ini. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Encik Ahmad bin Zainal, Pegawai Meja Guru Cemerlang negeri Johor , dan tidak lupa,  Majlis Guru Cemerlang Pasir Gudang yang diterajui oleh En. Khoo Boo Khon yang turut membantu MGCJ menjayakannya. 

Semoga persidangan kali ini akan dapat menambah kukuh kecemerlangan dan jati diri 179  orang
guru cemerlang yang hadir demi keterbilangan pendidikan di negeri Johor.








MENCARI JEJAK BAHASA DI KOTA BEIJING
TARIKH: 12 - 18 JUN 2010

Kesibukan kota Beijing yang kebetulan bekerja pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu ini,
ditambahsibukkan lagi dengan berlangsungnya Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu
di Hotel Laurel Beijing, Seminar dua hari anjuran Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia
yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta dari Malaysia yang terdiri daripada pensyarah,
guru dan peminat/pencinta bahasa Melayu. Sesuai dengan bumi Beijing yang kaya dengan
kepelbagaian budaya, seminar yang bertemakan Isu-isu P&P Bahasa Melayu dalam Konteks
Kepelbagaian Budaya telah menampilkan 3 kertas kerja utama berserta 18 kertas kerja iringan dan sesi forum.

Hari 1: Sabtu, 12 Jun 2010
Perjalanan delegasi ke Beijing melalui KLIA (pesawat Cathay Pacific) dan Bayan Lepas (China Air)
seawal 9.40 pagi, singgah di Hong Kong selama 2 jam lebih dan sampai di Beijing Laurel Hotel
pada kira-kira 10.00 malam. Semasa di LTA Hong Kong, peserta-peserta sempat menunaikan
solat jamak Zuhur dan Asar. Betapa pertama kalinya sujud di bumi Hong Kong,
 hanya kain rentang iklan menjadi dindingnya!

Hari 2: Ahad, 13 Jun 2010
Banyak peserta yang terkejut hari ini apabila terjaga pada jam 5 pagi tetapi terlihat di luar tingkap,
cahaya terang dari tingkap hotel! Rupa-rupanya waktu subuh adalah pada pukul 2.45 pagi!

Seminar bermula pada jam 8.30 pagi dengan majlis ringkas pembukaan rasmi yang disempurnakan
oleh Yang Berbahagia, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan diikuti pembentangan 2 kertas
kerja utama oleh Prof. Dr, Haji Awang Sariyan, Penyandang Kursi Pengajian Melayu-China
di Bejing Foreign Studies University (BFSU) dan Prof. Liang Liji dari University of Beijing.

Sesi forum pula menampilkan pensyarah dan penggiat bahasa Melayu dari bumi Beijing
sendiri iaitu Puan Adibah (Shao Ying) dan Encik Johan Amal (Fu Cong Cong)
- pensyarah Bahasa Melayu dari BFSU, Puan Melati (Zhang Jingling), pensyarah Bahasa Melayu
di Communication University of China dan Puan Atiah Mohd. Salleh, Pakar Luar Negara
dari China Radio International, Komunikasi Bahasa Melayu. Turut hadir dalam majlis perasmian
pembukaan seminar ialah wakil Kedutaan Malaysia di China iaitu Encik Wong Chong Way,
 Atase Pendidikan.

Pada sebelah petang dan malam, 12 kertas kerja iringan telah dibentangkan termasuk kertas
kerja Puan Zanariah Abdol tentang Modul Penulisan Proses MAS (MPPM).


Hari 3: Isnin, 14 Jun 2010
Hari kedua seminar dimulakan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang menyampaikan
ucap utama diikuti pembentangan 6 kertas kerja iringan dan majlis perasmian penutup
oleh Yang Berbahagia, Prof. Madya Dr. Hashim Othman,
Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia.

Pada sebelah petang, peserta seminar dibawa ke Beijing Foreign Studies University yang
menawarkan kursus Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu kepada pelajar tempatan.
Di BFSU, kami disambut oleh Prof. Dr. Hj. Awang Sariyan, Puan Adibah (Shiao Ying), pelajar China
yang mengikuti Kursus Bahasa Melayu dan sekumpulan pelajar kursus Pengajian Melayu
dari Universiti Malaya yang menjalani program pertukaran pelajar di sana. Kami juga berpeluang
untuk bertemu muka dengan Saudari Noriah (Zhong Sang), Johan Pidato Perdana Menteri 2010
yang berlangsung di PICC beberapa bulan yang lalu.

Selesai di BFSU, kami dibawa melawat kilang sutera yang terletak berhampiran dengan BFSU.


Hari 4: Selasa, 15 Jun 2010
Bermulalah acara lawatan hari ini. Tempat yang lawati ialah tempat yang menjadi daya tarikan
utama warga dunia iaitu Tembok Besar China. Sebelum ke Tembok Besar China, peserta
dibawa melawat kilang jed dan kilang kristal. Sebelum memasuki Kota Beijing semula, kami
dibawa ke kilang ubat-ubatan tradisional China. Bermacam-macam ubat China yang unik dijual
dengan harga yang agak mahal - mungkin sesuai dengan khasiat yang ditawarkan.
Sebotol koyok China yang berubat (berbau seperti jamu) berharga kira-kira RM150! Namun,
ada peserta yang mencuba sampel yang telah diberikan mengakui khasiatnya lantas menyesal
kerana tidak membelinya!


Hari 5: Rabu, 16 Jun 2010
Tibalah masanya untuk melawat tempat bersejarah yang tidak kurang hebatnya iaitu
Dataran Tiananmen dan Kota Larangan atau Forbidden City. Awal-awal lagi peserta
diberitahu oleh pemandu pelancong supaya memakai kasut yang sesuai kerana peserta
perlu berjalan jauh merentasi Dataran Tiananmen seterusnya memasuki Kota Larangan
yang saujana mata memandang. Memang lenguh berjalan dan kasut yang sesuai memang diperlukan!

Keluar dari Kota Larangan, peserta dibawa ke sebuah stadium yang pernah menjadi venue
bagi Sukan Asia untuk menjalani rawatan urut kaki. Setelah diberikan penerangan tentang
penjagaan kesihatan, perkhidmatan rendaman kaki di dalam air suam yang bercampur seuncang teh
diikuti urutan kaki percuma diberikan kepada semua peserta. Namun, semasa kaki peserta diurut,
mereka didatangi oleh doktor kerajaan yang mendiagnosis penyakit melalui pemeriksaan tapak tangan
dan denyutan nadi. Malahan ada peserta yang diberikan rawatan batin secara percuma di bilik khas
yang disediakan. Doktor seterusnya akan memberikan senarai ubat yang sesuai dengan penyakit yang
dikatakan. Harga ubat-ubatannya memang mahal! Walau bagaimanapun, ada peserta yang mengakui 
memang menghidap penyakit yang dinyatakan tetapi tidak membeli ubatan yang disenaraikan kerana
harganya yang sangat mahal. Namun, ada juga peserta yang membeli ubat-ubatan tersebut yang
berharga kira-kira 10 000 Yuan (bersamaan kira-kira RM5000)!

Selesai urutan kaki, peserta dibawa ke Taman Olimpik yang terletak bersebelahan dengan Stadium
Sarang Burung yang menjadi venue utama Sukan Olimpik Beijing. Selepas itu, peserta
dibawa ke sebuah pasar yang agak kecil untuk membeli-belah, seterusnya makan malam
dan kembali ke hotel.


Hari 6: Khamis, 17 Jun 2010
Aktiviti lawatan bermula lewat hari ini. Semuanya gara-gara beberapa orang peserta keluar
lambat dari hotel iaitu pada jam 8.00 pagi, ditambah lagi dengan kesesakan jalan yang
pertama kali dirasai oleh peserta berserta hujan renyai-renyai. Untuk memasuki kawasan
bandar yang sebelum ini mengambil masa 30 minit, hari ini mengambil masa 2 jam!

Sebelum ini, peserta tidak pernah merasai kesesakan lalu lintas di Kota Beijing kerana
hari Isnin hingga Rabu, diisytiharkan sebagai hari cuti am bagi Republik Rakyat China (RRC)
bersempena dengan Perayaan Perahu Naga yang jatuh pada hari Rabu. Uniknya cuti umum di sini,
untuk membolehkan rakyatnya mendapat cuti yang panjang iaitu 3 hari berturut-turut, RRC
menggantikan hari bekerja pada Isnin dan Selasa kepada Sabtu dan Ahad
(seperti sekolah ganti hari Sabtu di Malaysia). Jadi, hari ini, Khamis ialah hari pertama
mereka bekerja setelah bercuti selama 3 hari berturut-turut.

Tempat pertama yang dikunjungi hari ini ialah kedai yang menjual pelbagai teh Cina.
Peserta diberi minum teh serta ditunjukkan cara-cara minum teh yang pelbagai.

Setelah itu, peserta dibawa ke kedai batu-batuan seperti nilam dan rubi yang dimiliki
oleh seorang rakyat Malaysia dari Pelabuhan Kelang. Setelah itu, ketiga-tiga buah bas
membawa peserta ke tempat yang sama iaitu ke Taman Istana Kayangan. Kami bernasib
baik kerana dapat melawat kawasan taman istana ini kerana hujan teduh namun kedinginan
begitu mencengkam kerana langit masih mendung ditambah lagi dengan keadaan kawasan itu yang agak berangin.

Selepas makan tengah hari, peserta dibawa melawat kilang kristal, seterusnya ke tempat
yang dinanti-nanti iaitu ke Silkstreet untuk acara membeli-belah. Sementara sebilangan peserta
masih membeli-belah, 47 orang peserta bergegas kembali ke hotel untuk mandi dan bersiap-siap
bagi menghadiri majlis tahlil serta bacaan Yassin di Kedutaan Malaysia.

Di Kedutaan Malaysia, peserta bertemu dengan sekumpulan pelancong dari Malaysia yang terdiri
daripada pesara tentera berserta isteri masing-masing. Turut hadir ialah pelajar-pelajar Malaysia
yang mengikuti Kursus Bahasa Mandarin di BFSU.


Hari 7: Jumaat, 18 Jun 2010
Seawal 5.00 pagi, peserta yang menaiki pesawat Cathay Pacific telah pun berada di dalam
bas untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing. Urusan daftar masuk dan bagasi
memakan masa yang agak lama kerana pemeriksaan yang agak teliti.
Selesai sahaja urusan daftar masuk, peserta bergegas ke pintu masuk kerana pesawat
Dragonair telah sedia untuk berlepas ke Hong Kong. Di dalam pesawat, salah seorang
peserta baru menyedari bahawa dompet beliau tertinggal di dalam bakul semasa melalui
 pemeriksaan sinar-X oleh pihak kastam di LTA Beijing! Aduh!

Tiba di Hong Kong, peserta bergegas mencari pintu masuk yang berikutnya untuk menyambung
perjalanan ke KLIA. Masa tidak sampai 50 minit untuk menukar penerbangan
ditambah dengan masalah teknikal, menyebabkan peserta termengah-mengah ketika
memasuki pesawat Cathay Pacific ke KLIA. 

Pada jam 4.30 petang, kumpulan pertama yang pulang dengan pesawat Cathay Pacific 
melalui Hong Kong, selamat tiba di KLIA. Namun, terbetik berita bahawa ada
rakan-rakan peserta (termasuk peserta dari Indonesia iaitu Dra. Tatat Hartati dan
Dr. Effy Mulyasari) yang menaiki China Air, terkandas di Guang Zhao! Aduhai!
 

MR. K KE JENJANG PELAMIN
TARIKH: 6 JUN 2010

Cikgu Kamarul Nizam aka Mr. K, ke jenjang pelamin juga akhirnya, bersama gadis pilihan hati,
Cikgu Noradila. Setelah diijabkabulkan pada sebelah paginya, pada sebelah tengah hari,
Mr. K dan Noradila diraikan oleh sanak saudara, jiran tetangga, rakan-rakan dan pelajar-pelajar
di kediaman pengantin perempuan di Jalan Sawi, Kluang. Pada 12 Jun nanti,
mereka akan diraikan pula di sebelah pihak lelaki di Pekan, Pahang.

Kepada kedua-dua mempelai, selamat melayari alam berumah tangga.
Semoga bunga-bunga kasih akan kekal segar dan mewangi selagi hayat dikandung badan.


MESYUARAT AJK PIBG
TARIKH: 5 JUN 2010

Mesyuarat AJK PIBG diadakan pada jam 9 pagi - 12.30 tengah hari di Bilik Gerakan, hari ini.
Antara agenda besar yang dibincangkan ialah Hari Terbuka, Mesyuarat Agung Tahunan
(MAT) PIBG SMSJ dan dana surau daripada kalangan ibu bapa bagi mencukupkan sasaran
kutipan bagi naik taraf surau sebanyak RM40,000.

Semoga MAT akan berlangsung dengan jayanya apalagi apabila pemilihan
AJK baru akan dilakukan pada tahun ini.


BENGKEL PEMBINAAN MODUL PENULISAN PROSES MAS (1)
TARIKH: 3 JUN 2010

Setelah hampir sebulan merancang, akhirnya, hasrat untuk menganjurkan bengkel pembinaan
Modul Penulisan Proses MAS (MPPM) terealisasi hari ini apabila seramai 9 orang Guru Cemerlang
Bahasa Melayu daerah Kluang berkumpul di Perpustakaan SMSJ seawal jam 8 pagi.
Bengkel dimulakan dengan taklimat kerja oleh Puan Zanariah binti Abdol, diikuti sesi perbengkelan.

Modul penulisan yang menyasarkan pelajar-pelajar potensi lulus diharapkan dapat meningkatkan
tahap penguasaan bahasa Melayu terutamanya dalam kalangan pelajar bukan Melayu seterusnya
mengurangkan bilangan pelajar yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. 
Modul ini juga boleh disesuaikan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah.

Terima kasih diucapkan kepada Cik Hajah Khalidah binti Khalid (SMK Jalan Mengkibol),
Encik Yahya bin Harun, Encik Mohd. Shamsuri bin Ismail (SK Kahang), Puan Salina binti Mohd. Ali
(SK Dato' Onn Jaafar), Puan Azlina binti Masuan (SK Seri Maju Jaya), Puan Maslia binti Darum
(SK Batu 3), Puan Mariam binti Eshak (SJKC Pa Yai) dan Puan Poongudhi a/p K. Subramaniam,
(SJKT Jalan Haji Manan) atas komitmen yang diberikan demi kecemerlangan pendidikan di daerah Kluang. 

Selamat bercuti di samping menyiapkan tugasan tambahan yang diberikan!
Jumpa lagi dalam sesi kedua bengkel pada 24 Jun 2010!
 

MAJLIS MAKAN MALAM AMAL SAJOHA HEBAT, NOSTALGIK!
TARIKH: 28 MEI 2010

Alhamdulillah, Majlis Makan Malam Amal Sajoha 2010 berlangsung dengan megah dan jayanya
di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Majlis dihadiri oleh hampir semua
kumpulan pelajar berdasarkan tahun, sejak penubuhan SMSJ pada tahun 1973. 
Guru-guru yang pernah mengajar sejak penubuhan SMSJ juga turut hadir diraikan dalam majlis yang santai,
meriah dan nostalgik. Walaupun ketibaan tetamu utama, YB Dato' Hj. Ahmad bin Hj. Maslan 
agak lewat lantaran baru mendarat dari luar negara pada jam 8.30 malam, tidak ada istilah jemu
menunggu kerana di samping dihiburkan celoteh Zainal Alam Kadir serta nyanyian artis undangan,
 masing-masing begitu ghairah berjumpa teman-teman yang sekian lama terpisah, berjabat erat
serta mengimbau kenangan manis ketika berada di pangkuan SMSJ. 

Tiada kata yang dapat mengungkapkan secara tepat, perasaan dan penghargaan terhadap
semua bekas pelajar yang hadir, mahupun yang tidak dapat hadir namun masih menghulurkan
sumbangan demi kelangsungan kecemerlangan alma mater. Semoga sumbangan tuan puan 
yang keseluruhannya melebihi RM300 000 termasuk sumbangan daripada JPM, diterima Allah
sebagai amal dan tuan puan akan dikurniai pulangan yang berlipat kali ganda dalam pelbagai
bentuk daripada-Nya serta menjalani kehidupan yang bahagia, aman dan sejahtera dunia akhirat.

Kepada semua pelajar SMSJ, ambillah ikitbar daripada kejayan abang-abang dan
kakak-kakak demi melakar kejayaan yang lebih hebat untuk diri, keluarga, bangsa,
negara dan agama. Namun, apabila sudah mencapai bintang, jangan lupa rumput di bumi, 
usah dibuang kulit yang sekian lamanya melindungi serta membentuk diri...

Terima kasih Sajoha terutamanya kepada Dato Ahmad Ridza dan jawatankuasanya!
Terima kasih daun keladi...

p/s: Seronok dapat berjumpa kembali dengan semua pelajar saya. 
Melihatkan kalian yang semakin anggun, segak dan penuh karisma,
 terbayang wajah-wajah yang dahulunya comel, naif, manja, bijak dan ada yang sedikit nakal...
Betapa, berada di dunia luar yang nyata, mendewasakan kalian...
Semoga kalian bertambah maju dan berjaya dalam semua lapangan.

p/s2: Terima kasih kepada batch SPM87 yang mengundang saya ke meja mereka
diikuti sesi makan-makan lagi dengan Kapten Ahmad Rozley, Adrian,
Shamsulbahrin dan Ahmad Fauzi pada malam yang berikutnya...


BERPINDAH LAGI?
TARIKH:  22 MEI 2010
Setelah sekian lama "dikuarantin"di bilik guru lama, penantian 6 orang guru untuk berpindah berakhir hari ini.
Kumpulan akhir ini mulai mengangkat barang setelah mendapat lampu hijau daripada
pengurusan sekolah dan setelah kerja pembersihan dilakukan. Tiga daripadanya yang terdiri
guru cemerlang menempati bilik pengetua lama manakala tiga orang yang lagi yang terdiri
daripada setiausaha peperiksaan, menempati pejabat lama sekolah. 

Nampaknya sepanjang minggu hadapan, di samping kerja menanda kertas peperiksaan,
bermulalah juga kerja-kerja mengeluarkan fail dan buku dari kotak dan beg plastik...


SAMBUTAN HARI GURU YANG TERLEWAT!
TARIKH:  20 MEI 2010

Walaupun awal pagi baru tiba di rumah, hari ini tetap ke sekolah. Masuk saja ke bilik guru,
dari jauh sudah kelihatan longgokan kad dan cenderamata daripada pelajar dan guru 
bersempena dengan sambutan Hari Guru 17 Mei yang lalu. Terharunya kerana terlepas
untuk menyambutnya bersama-sama warga sekolah! Namun berita yang dibawa oleh
 Cikgu Musykhairil aka Muih, begitu mengujakan! Petang ini ada pertandingan boling Kebiru
bersempena dengan sambutan Hari Guru dan Cikgu Mastura menarik diri pada saat akhir! 
Walaupun masih letih dan mengantuk, peluang untuk menyambut Hari Guru bersama-sama
rakan tidak dilepaskan! Seronoknya! 


ANTARA NUHUN, SIMI-SIMI DENGAN MANGGA!
TARIKH:  16 - 19 MEI 2010

Rentetan daripada Kursus Pedagogi Serantau yang diadakan di SMSJ pada bulan April lepas
hasil kerjasama SMSJ dengan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), 3 orang guru SMSJ diundang pula
ke UPI bagi mengikuti seminar antarabangsa yang diadakan di sana. Seminar yang bermula
pada 17 Mei 2010 dihadiri oleh Tuan Haji Nojumuddin bin Abd. Samad, Pengetua Cemerlang, SMSJ,
Puan Zanariah binti Abdol, Guru Cemerlang dan Penyelaras Program Pengantarabangsaan
serta Encik Sahnizam bin Miswan, Penolong Penyelaras Program Pengantarabangsaan.

Seminar yang dihadiri oleh kira-kira 600 orang pendidik dan bakal pendidik telah
membentangkan 6 kertas utama dari Indonesia (2), Australia (1), Malaysia (2) dan Thailand (1)
serta lebih 33 kertas kerja dari pelbagai materi (subjek).

Puan Zanariah binti Abdol turut mewakili Malaysia untuk membentangkan kertas kerja yang
bertajuk "Kemahiran Bertutur Secara Santai dan Berterusan melalui PLBS".

Nuhun UPI khususnya Fakultas Ilmu Pendidikan yang diterajui oleh Dr. Ahman serta dosen-dosennya
. Diharapkan kerjasama SMSJ-UPI akan berterusan dan melibatkan lebih banyak pihak
demi kelangsungan usaha untuk mengangkat nama SMSJ dan UPI di persada antarabangsa
. Sampai ketemu lagi, mangga!

HARI 1: 16 MEI 2010


HARI 2: 17 MEI 2010


HARI 3: 18 MEI 2010


HARI 4: 19 MEI 2010


TAHLIL & YASSIN DI BILIK GURU
TARIKH: 14 MEI 2010

Di celah-celah kesibukan menguruskan sambutan Hari Guru dan menyediakan soalan
peperiksaan pertengahan tahun, guru-guru SMSJ sempat mengadakan majlis bacaan Yassin,
tahlil dan doa selamat bersempena dengan perpindahan ke bilik guru baru, yang genap
seminggu hari ini. Selesai majlis bacaan surah Yassin, tahlil dan doa selamat yang
dipimpin oleh Ustaz Zakaria bin Yatimin, acara makan-makan diadakan buat pertama kalinya
di bilik guru baru. Ruang rehat yang agak sempit tidak mengurangkan kemeriahan
dan keghairahan guru-guru untuk menikmati keenakan juadah bawaan yang pelbagai.


TIGA PROGRAM DALAM SEHARI?
TARIKH:  8 MEI 2010

Berbanding hujung minggu lepas yang terlalu padat dengan tugasan penandaan yang perlu dibereskan,
hujung minggu kali ini lebih menyeronokkan apalagi apabila tiga hajat terlunas dalam satu hari!
Pagi dimulakan dengan pelaksanaan Program Pemantapan Karangan Tingkatan 5 di Dewan Seri Bakti,
diikuti program santai-santai di Batu Pahat  pada sebelah tengah hari dan
diakhiri program makan-makan di tepi pantai.

Sebagaimana tahun lepas, Program Pemantapan Karangan pada tahun ini turut menampilkan
penceramah jemputan yang sama iaitu Cikgu Che Bibodin bin Omar, dari SMKA Kuala Selangor.
Program yang bermula pada kira-kira jam 9 pagi, berakhir pada jam 1 tengah hari.
Antara guru tingkatan 5 yang hadir ialah Encik Shahrul Nizam Ayob dan Cikgu Masitaah.
Yang turut hadir ialah Cikgu Juliana - guru tingkatan 4.  Diharapkan agar program yang
dilaksanakan dapat menyuntik semangat pelajar-pelajar SPM 2010 untuk mencipta kecemerlangan
secara bersama iaitu memperoleh 100% A+ bagi subjek Bahasa Melayu. 


SAYONARA B23!

TARIKH: 6 MEI 2010

Sejak 1991 menghuni B23, tibalah masanya bagi guru-guru untuk mengucapkan selamat tinggal.
Semuanya gara-gara bangunan baru telah pun siap sepenuhnya dan bilik guru baru yang
lebih kecil saiznya telah sedia menunggu. Walaupun ramai yang ghairah untuk berpindah,
namun bagi guru-guru lama seperti Ustaz Zakaria Yatimin, Cikgu Abd. Aziz Husin,
saya sendiri dan lain-lain, rasa terharu tetap menyelinap dalam kalbu ketika berkemas.
Bilik guru sebelum tahun 1991 adalah di perpustakaan hingga sebahagian daripada Bilik Bestari.

Semoga hijrah kali ini akan membawa faedah kepada SMSJ terutama dari segi impaknya 
demi kecemerlangan dan kegemilangan SMSJ secara berterusan.
Kepada beberapa orang guru yang masih belum berpindah, bersabarlah kita ya...!


Page:  1 2 3 4 5 6 7 8 Depan
Carian Google
 
  

KUNJUNGAN TETAMU

SAAT INI



Arkib
 :: TAHNIAH ENCIK ZAINAL, TAHNIAH HIDAYAH! 
 :: BAGAI BERLARI MERENTASI GARIS MASA  
 :: PERBINCANGAN MEJA BULAT MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU 
 :: BENGKEL PEMBINAAN MODUL KARANGAN  
 :: HAC & PENGANTARABANGSAAN SMSJ 2010 
 :: ANTARA SEHARIAN PENAT BEKERJA DENGAN SENYUMAN, DOA DAN UCAPAN 
 :: SYAZWAN MEMBANGGAKAN SMSJ 
 :: JUADAH BAWAAN 2 & KELAS PEMANTAPAN BM SPM 
 :: APRIL FOOL DI PORTAL ZANA UNTUK ZANA? 
 :: KELAS PEMANTAPAN BM PMR 
 :: PADAT, PENAT TAPI GEMBIRA! 
 :: PENYAMPAIAN PINGAT MSSD 2010 DAN ANALISIS SPM 2009  
 :: MAJLIS PERPISAHAN DAN PERSARAAN 
 :: MAT & PROGRAM PENINGKATAN KEILMUAN MGC KLUANG 2010  
 :: JUADAH BAWAAN & SAMBUTAN HARI LAHIR 
 :: PERKONGSIAN PINTAR SM ZON KLUANG BARAT - PEMANTAPAN TATABAHASA PMR & SPM 
 :: CERAMAH PENEGUHAN BAHASA 
 :: GURU MUDA DALAM PEMBIKINAN! 
 :: UNTUK RENUNGAN BERSAMA... 
 :: MESYUARAT AGUNG RUMAH  

www.zanariah.myportal.my